Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Julaihi Narawi bercakap kepada media selepas taklimat bersama pemimpin masyarakat di Daro pada Sabtu. Turut kelihatan, Datuk Liwan Lagang dan Shafiee Ahmad. Foto: SMA

Liputan internet menyeluruh hanya dapat dicapai pada 2030

DARO, 23 Okt: Sarawak hanya dapat mencapai liputan Internet menyeluruh pada 2030 ekoran bentuk muka bumi yang mencabar, kata Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi.

“Secara logiknya, kita dapat mencapai liputan Internet menyeluruh pada 2030 sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030. Kita dah merancang untuk mencapainya lebih awal tetapi kita berhadapan banyak rintangan,” katanya pada sesi taklimat dengan pemimpin masyarakat di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Timbalan Menteri Utiliti (Telekomunikasi) Datuk Liwan Lagang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Shafiee Ahmad.

Beliau menjelaskan lanjut, antara rintangan yang dihadapi pihak berkuasa ialah memperoleh tanah sebagai tapak membina menara meskipun kerajaan memperuntukkan dana sewajarnya bagi melaksanakan pembangunan telekomunikasi di seluruh Sarawak.

“Seperti yang anda semua maklum, Sarawak sebuah negeri yang besar dan keadaan geografinya sangat mencabar dari konteks pelaksanaan sambungan Internet dan komunikasi kepada masyarakat. Sebab itu kita memerlukan kira-kira 7,000 menara agar dapat memberi liputan menyeluruh dan sambungan yang lancar.

“Setakat ini kita telah membina 3,471 menara atau struktur dan 1,043 yang dalam pelbagai tahap proses pembinaan,” katanya.

Menurutnya, 300 daripada menara baharu ini dibina oleh Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) sedang dalam proses pemasangan dengan peralatan syarikat telekomunikasi yang dijalankan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC).

Kelewatan ini disebabkan kekurangan set cip di seluruh dunia. Baki 300 menara lagi akan dibina SDEC di bawah fasa kedua, ujarnya.

Mengenai menara yang telah siap, Julaihi menjelaskan, dalam beberapa kes, terdapat menara dibina berdekatan antara satu sama lain, kerana masing-masing memainkan peranan sendiri.

“Ini bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana masing-masing memainkan peranan yang berbeza. Salah satu daripada menara ini merupakan menara utama dan yang lain adalah ‘repeater’ atau sebagai hab transmisi,” ujarnya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan