KUCHING, 23 Okt : Keistimewaan produk pelancongan di Malaysia khususnya Sarawak memudahkan usaha promosi untuk menarik lebih banyak pelancong, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Dato Sri Nancy Shukri.
Menurutnya, ini kerana Malaysia kaya dengan budaya, gastronomi dan hutan yang tiada tandingannya.
Baca artikel di sini >>>>> Nancy terima Anugerah Ikon Pelancongan Wanita Inspirasi
“Malaysia tidak mungkin dapat menarik begitu ramai pelancong jika kita tidak proaktif melaksanakan pakej dan kempen baharu, termasuk menganjurkan acara perniagaan antarabangsa yang membawa masuk wakil-wakil delegasi.
“Saya pasti anda semua bersetuju apabila saya mengatakan tidak susah untuk promosi kerana kita kaya dengan budaya, gastronomi dan hutan kita tiada tandingannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Malaysia Tourism Council (MTC) Gold Award di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini semalam.
Sementara itu, Nancy berkata, kementeriannya menyasarkan ketibaan sebanyak 9.2 juta pelancong dengan unjuran nilai pendapatan RM26.8 bilion menjelang hujung tahun ini.
Setakat Julai lepas ujarnya, Malaysia telah menerima kedatangan lebih 3.21 juta pelancong dengan menjana pendapatan berjumlah RM9.35 bilion. -TVS