IGAN, 23 Okt : Rakyat Sarawak disaran supaya mengambil iktibar terhadap ‘keruntuhan’ yang berlaku kepada sebuah parti yang kuat di Semenanjung Malaysia yang berpunca akibat perpecahan sesama sendiri, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata, perpecahan itu turut memberi kesan buruk apabila pentadbiran negara tidak stabil sekaligus menjejaskan keyakinan pelabur asing.
Kata beliau, pertukaran tiga Perdana Menteri dalam tempoh satu penggal juga menjejaskan kehidupan rakyat apabila banyak projek pembangunan tidak dapat dilaksanakan.
“Oleh sebab itu dalam GPS, kita jaga perpaduan parti dan membolehkan kita menjadi kuat,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Terbuka Pekan Baharu Daro di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad dan pemimpin-pemimpin Kerajaan Sarawak yang lain.
Mengimbau kembali peristiwa itu, Abang Johari yang juga Premier Sarawak berkata, negeri ini turut memainkan peranan bagi memastikan negara kembali stabil.
“Apabila Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin) hendak dilantik sebagai Perdana Menteri, Istana Negara mahukan pandangan Sarawak.
“Saya yang ketika itu berada di Sungai Asap, Belaga dihubungi oleh Istana Negara, demi kestabilan Malaysia, saya kata Sarawak sokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan wakil rakyat kita dapat berkhidmat di Persekutuan,”katanya.
Bagaimanapun Abang Johari berkata, perkara sama berlaku apabila parti yang kuat menarik sokongan kepada Muhyiddin sehingga Sarawak sekali lagi turut ‘terheret’ namun katanya ketegasan sama disuarakan apabila Sarawak mahukan kerajaan stabil di peringkat persekutuan.
Sementara itu, Abang Johari berkata, selaku pemimpin Sarawak, beliau akan terus menjaga dan mempertahankan hak negeri ini dalam Malaysia dan perkara itu bukanlah retorik.
“Kita akan terus membangunkan kawasan luar bandar. Apabila Pakatan Harapan membatalkan projek Jambatan Igan, kita ambil alih malah sambung hingga ke Paloh dan Batang Lasah.
“Mereka terkejut apabila Sarawak mampu membiayai projek berkenaan yang kosnya melebihi RM1 bilion,” katanya.
Katanya, Sarawak berkemampuan dan akan mencari jalan untuk kepentingan rakyatnya. -TVS