Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Abdullah Saidol, Yusuf Abd Wahab dan Hadi Selamat pada Malam Anugerah Karnival Sukan Saberkas di Kampung Semop dekat Daro pada Sabtu malam. Foto TVS

Abdullah sokong Yusuf bertanding semula di Tanjong Manis

DARO, 23 Okt: Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Abdullah Saidol menyokong agar mantan Ahli Parlimen Tanjong Manis Yusuf Abd Wahab dicalonkan semula pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Beliau serta jentera Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan N.42 Semop akan bekerja keras demi memastikan kemenangan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Kemenangan calon-calon GPS amat mustahak dan bagi mencapai kemenangan besar, kita akan bekerja keras dan merapikan persiapan dari semua aspek,” katanya pada Malam Anugerah Karnival Sukan Saberkas di Kampung Semop dekat sini pada Sabtu malam.

Hadir sama, Yusuf dan Setiausaha Saberkas Cawangan Semop Hadi Selamat.

Yusuf mewakili Barisan Nasional (BN) pada PRU-14 menang dalam pertandingan menentang calon Amanah yang menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamad Fadillah Sabali.

Kawasan Parlimen Tanjong Manis merangkumi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semop dan DUN Kuala Rajang.

Abdullah merupakan Ahli DUN Semop, manakala Datuk Len Talif Salleh sebagai Ahli DUN Kuala Rajang.

Sementara itu, Yusuf berkata jika dipilih bertanding semula, beliau bersedia untuk berkhidmat.

Namun, beliau menyerahkan keputusan kepada pucuk pimpinan GPS.

“Saya bersedia untuk memberi khidmat terbaik andai kata tercalon sekali lagi di Tanjong Manis,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Dewan Sekolah Kebangsaan Muara Payang di Sarikei pada Sabtu.

Pada majlis itu, Abdullah yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) mengumumkan sumbangan RM17,000 kepada 17 unit Saberkas Cawangan Semop – RM1,000 setiap unit – bagi membiayai perjumpaan santai warga Saberkas di kampung masing-masing.

Beliau turut memaklumkan program seterusnya yang akan dianjur Saberkas Cawangan Semop ialah Program Pencegahan Jenayah dan Anti Dadah dengan penyertaan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan polis. Turut dalam perancangan ialah Program Keusahawanan Belia bersama beberapa agensi berkaitan.

“Aktiviti-aktiviti yang kita anjurkan memerlukan pembabitan aktif para belia agar tidak terjebak dalam aktiviti tidak sihat.

“Kita mahu warga belia kampung di kawasan N.42 Semop sentiasa berfikiran positif, terlibat dalam aktiviti-aktiviti sihat dan sentiasa bersedia untuk menyumbang dalam pelbagai aktiviti gotong-royong di kampung masing-masing,” ujarnya.

Beliau turut menyatakan penghargaan kepada belia Saberkas Cawangan Semop yang aktif membantu mengedar bantuan bakul makanan ke setiap rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa penularan COVID-19. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan