KOTA KINABALU, 22 Okt : Parti Warisan Sabah (WARISAN) mengekalkan dua muka lama sebagai calon bagi kerusi Parlimen Penampang dan Sepanggar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.
Presidennya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, Timbalan Presiden, Datuk Darell Leiking akan diturunkan untuk mempertahankan Penampang manakala Datuk Mohd. Aziz Jamman ‘kekal’ Sepanggar.
Pada 2018, Darell menang kerusi itu dengan menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Mandela Malakun.
Di Sepanggar, pada PRU-14 Â Mohd. Aziz menewaskan Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan yang juga calon BN dengan majoriti 12,984 undian.
Sebelum ini, WARISAN mengumumkan tiga calonnya iaitu Datuk Adnan Puteh (Sipitang), Dr. Daud Yusof untuk Parlimen Kimanis selain turut mencalonkan semula Ahmad Hassan bagi Parlimen Papar.
Mohd. Safie turut menyatakan partinya akan bertanding di kesemua 25 kerusi parlimen di Sabah. – TVS