KUCHING, 22 Okt : Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) melancarkan dua sayap belia baharu sempena Sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Sarawak.
Presidennya, Dato Sri Dr. Sim Kui Hian berkata, penubuhan SUPP Newbees dan Puteri SUPP itu bertujuan untuk menarik penyertaan belia berusia 18 hingga 28 tahun.
“Langkah ini juga sebagai kesinambungan parti untuk mendekati golongan belia di Sarawak,”katanya kepada pemberita selepas pelancaran dua sayap berkenaan di sini hari ini.
Sementara itu ditanya sama ada penubuhan itu memberi ‘petanda’ yang SUPP akan meletakkan calon muda dan wanita di kerusi – kerusi parlimen yang akan ditandinginya pada Pilihan Raya Umum Ke -15 (PRU-15), Dr. Sim berkata, perkara itu terpulang kepada Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Senarai nama calon SUPP telah diserahkan kepada Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Keputusan muktamad akan ditentukan oleh beliau,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Premier Sarawak memberitahu, senarai akhir akan diumumkan dalam masa terdekat dan percaya Abang Johari yang mempunyai pengalaman politik lebih 40 tahun akan membuat keputusan terbaik untuk GPS.
Berdasarkan pembahagian kerusi di kalangan empat parti di bawah GPS, SUPP akan meletakkan calonnya di kerusi Parlimen Kuching, Stampin, Serian, Sarikei, Sibu, Lanang dan Miri pada PRU-15 ini. -TVS