Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
BN dijangka memerlukan bantuan GPS dan GRS untuk menubuhkan kerajaan baharu.

Mampu menang lebih 70 kerusi namun perlukan GPS

ByFirdaus Ismail

KUALA LUMPUR, 22 Okt : Barisan Nasional (BN) dijangka mampu menang lebih 70 kerusi parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke -15 (PRU-15) ini, kata Dr Muhammad Tawfiq Yaakub.

Namun demikian kata penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM) itu, mengambil kira ‘situasi’ semasa, BN tidak mampu untuk menubuhkan Kerajaan Persekutuan secara bersendirian.

Kata beliau, gabungan UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) itu memerlukan ‘bantuan’ pihak lain untuk ‘kembali berkuasa’ di Putrajaya.

“Mereka (BN) memerlukan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dijangka menang banyak kerusi di negeri itu pada PRU-15 ini,”katanya kepada TVS.

Muhammad Tawfiq berkata demikian ketika diminta mengulas kemampuan BN untuk membentuk kerajaan selepas 19 November ini.

Dr Muhammad Tawfiq Yaakub

Sebelum ini, Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari mendedahkan ada gabungan politik dari Semenanjung Malaysia yang menyatakan minat untuk bekerjasama dengan pihaknya pada PRU-15 ini.

Bagaimanapun Abang Johari berkata, GPS masih belum membuat keputusan.

Sementara itu, Muhammad Tawfiq berkata, selain GPS, BN juga perlu bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ‘dalam usaha’ mencapai majoriti mudah 112 kerusi Parlimen bagi menubuhkan kerajaan.

Ditanya mengenai sentimen pengundi ketika ini pula, beliau berkata, Pakatan Harapan (PH) dijangka tidak lagi akan menjadi parti dominan.

Malah beliau turut menjangkakan PH akan hilang beberapa kerusi termasuk di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Pada 2018 keadaan berbeza apabila rakyat hilang mood kepada kerajaan yang memerintah dan menterjemahkannya pada kertas undi,”katanya.

Berhubung prestasi Bersatu pula, beliau berkata, parti itu yang kini merupakan tunjang Perikatan Nasional (PN) juga bakal menunjukkan kemerosotan.

“Ini kerana ketika tsunami politik pada PRU-14 , Bersatu hanya mampu menang 13 kerusi daripada lebih 50 kerusi yang mereka bertanding,” katanya.

Beliau seterusnya meramalkan Bersatu hanya mampu mempertahankan tiga kerusi Parlimen sahaja pada PRU-15 ini. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan