MIRI, 22 Okt : Maklumat dikongsi ‘netizen’ berjaya membantu pihak berkuasa menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi mencecah puluhan ribu ringgit.
Ketua Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Miri, Joe Azmi Jamil berkata, bertindak atas maklumat itu, anggotanya bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) Miri menyerbu sebuah stor di Jalan Krokop semalam.
Menurutnya, serbuan pada pukul 11.40 pagi itu menemukan minyak diesel yang disorok di situ.
“Seramai empat lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dengan kegiatan haram itu turut diberkas,”katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Terdahulu, Joe Azmi berkata, operasi bersepadu itu dijalankan susulan satu hantaran di halaman komuniti Facebook berhubung aktiviti penyelewengan minyak diesel di sebuah stesen minyak di bandar raya ini.
Beliau memberitahu, minyak diesel bersubsidi itu dipercayai akan dijual kepada pengguna industri.
“Siasatan mendapati premis tersebut tidak memiliki dokumen kebenaran menyimpan sebanyak 12,800 liter minyak diesel yang dianggarkan bernilai RM27 520 itu,”ujarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961. -TVS