KUCHING, 22 Okt : Kemenangan besar yang dicapai kelak oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Umum Ke -15 (PRU-15) akan datang mampu menguatkan suara Sarawak di Putrajaya, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Premier Sarawak itu berkata, ini seterusnya akan memanfaatkan pelbagai golongan di Sarawak termasuk belia yang merupakan aset penting.
Sehubungan itu, Abang Johari menyeru golongan belia untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri.
“ (Bekerjasama) untuk masa depan, biar obor Sarawak tetap kuat.
“Ini adalah untuk belia,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Belia Negeri Sarawak 2022 di sini hari ini.
Sementara itu, Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak amat menekankan aspek pembangunan bakat belia.
Katanya, perkara itu selari dengan langkah Sarawak yang bergerak ke arah ekonomi baharu berteraskan teknologi serta memberi nilai tambah kepada sumber asli yang dimiliki.
“Kita akan mempunyai bakat sedemikian (menerusi fokus yang diberikan oleh kerajaan negeri) dan InsyaAllah pada 2030, Sarawak akan menjadi negeri maju berpendapatan tinggi di Malaysia,” katanya.
Sementara itu Abang Johari turut berkongsi harapan beliau terhadap golongan belia Sarawak.
“Saya ingin melihat belia Sarawak mempunyai keupayaan untuk meningkatkan jati diri mereka dan menjadi anak Sarawak yang gemilang,”katanya.
Abang Johari berkata, beliau juga ingin melihat mereka berkembang dalam pelbagai bidang lain termasuk industri kreatif, sukan, kesukarelawan, pembangunan ekonomi dan sebagainya. – TVS