KUCHING, 22 Okt : Dua peserta Getaran Jiwa berasal dari Sarawak terpilih untuk mara ke pusingan separuh akhir Konsert Getaran Jiwa menerusi episod pertama yang diadakan pada Jumaat malam.
Markah keseluruhan diperolehi Hisamudin Zawawi ialah 47.98 peratus, manakala Izwan Dahlan memperoleh 42.81 peratus menerusi episod pertama.
Izwan Dahlan berkata, kelayakannya untuk ke pusingan separuh akhir merupakan sesuatu yang di luar jangkaan.
“Saya tidak menjangkakan kejayaan ini dan saya amat bersyukur dan selepas ini saya akan buat yang lebih baik dari sebelum ini,” katanya ketika ditemui pada program terbitan TVS yang diadakan di Stadium Tertutup MBKS di sini pada Jumaat malam.
Ia turut disiarkan secara langsung menerusi Astro saluran 122 dan MYTV.
Hisamudin Zawawi meluahkan rasa syukur di atas kejayaan walaupun harus bersaing dengan beberapa peserta hebat.
“Saya bersyukur kepada Allah kerana memberi rezeki kepada saya sehingga ke sampai ke separuh akhir kerana saya tidak terfikir untuk sampai ke peringkat ini kerana ada peserta yang bersaing dengan hebat.
“Memang dalam fikiran saya kata tidak akan ada peluang kerana rata – rata peserta berusia 30 dan ke atas. Dalam fikiran saya juga adalah untuk melakukan persembahan sahaja,” katanya.
Menurut ketua juri, Dato Nash, antara kriteria yang perlu di fokus oleh peserta adalah mampu untuk membawa lagu Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dan Puan Sri Saloma dengan cara mereka tersendiri.
“Kriteria yang sepatutnya kita kena pegang dan fokus peserta yang terlibat dalam Getaran Jiwa ini, mampu untuk membawa lagu Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dan Puan Sri Saloma dengan cara yang tersendiri.
“Mereka mempunyai cara tersendiri tetapi yang paling penting jangan ‘abuse’ kerana kita kena jaga seni yang dihasilkan oleh Allahyarham Tan Sri P.Ramlee.
“Ia terpulang sama ada mereka ingin membentuk melodi tersendiri tetapi cara penyampaian peserta itu kita terbuka kepada kebijaksanaan mereka untuk mengolahkan dari segi persembahan dan suara dia.
“Itu yang kita utamakan selagi ia tidak ‘abuse’ lagu ciptaan asal itu sendiri,” katanya
Norafizah Busman yang juga juri tetap berkata ia terletak kepada kreativiti peserta itu sendiri.
“Kita faham mereka sebenarnya tidak biasa lagi cuma kelebihannya pada orang suka mengubah sendiri. Ia seperti kita suka mencuba dan pentas ini adalah peluang untuk mereka mengeluarkan kreativiti tu sebenarnya,” katanya.
Sementara itu, Penerbit Eksekutif Getaran Jiwa, Adlan Shaharir berkata peserta diberi senarai lagu dan akan dipilih oleh peserta-peserta Getaran Jiwa itu sendiri.
“Lagu dipilih oleh peserta sendiri yang sebenarnya mereka diberi satu senarai lagu jadi kita beri kebebasan kepada peserta itu untuk memilih lagu cuma kita akan bimbing dari segi persembahan,” katanya.
Bagi Penerbit Penyelaras Getaran Jiwa, Yume Suryani, antara ‘surpise element’ yang dibuat pada program Getaran Jiwa adalah dengan membiarkan satu kotak markah yang kosong atau gelap.
“Dalam getaran jiwa kalau kita tengok ada undi tertentu dari pihak juri professional kita kosong, yang mana sebenarnya bukan kosong, tetapi hanya gelap sahaja atau tidak ada markah.
“Itu adalah antara ‘surprise element’ kami bermakna markah itu mungkin rendah ataupun mungkin tinggi. Itu adalah satu kejutan kepada penonton dan peserta kita,” katanya.
Persembahan setiap peserta dinilai melalui sistem pemarkahan yang terbahagi kepada 70 peratus oleh barisan juri dan 30 peratus oleh juri awam yang mengundi melalui dalam talian. – TVS