SIBU, 21 Okt : Kempen Jom Balik Mengundi 2.0 yang dianjurkan oleh Persidangan Tahunan Cina Sarawak Gereja Methodist Malaysia mendapat sambutan hangat apabila menerima lebih seribu permohonan.
Penyelaras kempen, Reverend Nicholas berkata, kempen ini merupakan inisiatif membantu pelajar yang kurang berkemampuan untuk pulang mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15Â (PRU-15) ini.
Katanya, pautan borang pemohonan dalam talian telah disediakan untuk membolehkan pelajar yang ingin memohon tiket penerbangan percuma.
“Setakat pukul 1 petang tadi, jumlah pemohon untuk kempen ini telah melebihi 1,000 dan kami akan menutup permohonan buat sementara waktu,” katanya ketika dihubungi TVS.
Bagaimanapun katanya, mereka akan membuka semula permohonan apabila mendapat sumbangan dana yang lebih banyak.
Sebelum ini katanya, permohonan secara dalam talian boleh dilakukan melalui https://forms.gle/WBSTVqiGDd88t7yKA dengan mengemukakan kad pengenalan pelajar dan maklumat pengundian.
Katanya, ini merupakan kali kedua mereka membantu pelajar yang memerlukan untuk membeli tiket penerbangan.
“Kali pertama pada 2018 kami berjaya mengumpul RM200,000 untuk membantu 600 pemohon yang berjaya,”katanya.
Reverend berharap pihaknya dapat mengumpul RM300,000 supaya lebih ramai pelajar kurang berkemampuan untuk pulang mengundi di kawasan masing-masing.
Beliau turut menyeru orang ramai tanpa mengira kaum dan agama untuk menghulurkan sumbangan dan menghubunginya menerusi aplikasi WhatsApp di talian 019-8548175.