SIBU, 21 Okt : Polis berjaya menahan enam suspek yang disyaki terlibat dalam kes samun berkumpulan terhadap seorang peniaga runcit di Jalan Khoo Peng Loong di sini semalam.
Kejadian itu menyebabkan mangsa yang berumur 57 tahun mengalami kecederaan selain kerugian RM13,000 apabila sebuah telefon bimbit dan wang tunai ‘dirampas’ kumpulan berkenaan.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 11.30 malam tadi.
“Berikutan itu polis menjalankan operasi dan berjaya menahan enam suspek lelaki berumur antara 27 hingga 40 tahun di beberapa lokasi sekitar bandar ini,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Menurut Zulkipli, mangsa mengalami cedera di bahagian dahi dan dada akibat dipukul dengan senjata tumpul.
Zulkipli berkata, polis juga berjaya merampas barang kes iaitu sebuah telefon bimbit yang dipercayai milik mangsa.
Menurutnya, kesemua suspek direman sehingga 27 Oktober ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan.
Difahamkan mangsa masih menerima rawatan di Hospital Sibu dan keadaannya dilaporkan stabil.-TVS