KUCHING, 21 Okt : Dua penerbit filem pecah panggung tempatan, Josiah Chieng dan Keoh Chee Ang merupakan antara ahli panel pada bengkel filem ACTION yang berlangsung di bandar raya ini selama dua hari bermula 29 Oktober.
Josiah sebelum ini meraih kejayaan memberangsangkan apabila filem terbitannya, Air Force The Movie : Selagi Bernyawa mencatatkan kutipan pecah panggung melebihi RM30 juta selepas ditayangkan di Malaysia, Singapura dan Brunei.
Filem berkenaan juga bakal ditayangkan di Taiwan.
Sementara itu, Chee Ang juga tidak kurang hebatnya apabila filemnya meraih kutipan lebih RM30 juta.
ACTION! anjuran Sarawak International Film Conference (SIFC) sempena What About Kuching (WAK) Festival 2022 bakal menampilkan beberapa siri ceramah oleh pemain industri perfileman untuk memberi inspirasi kepada pembikin filem dan meningkatkan kesedaran tentang trend terkini dalam industri.
Wakil penganjur, Jerry Chua berkata, bengkel itu akan turut mengupas topik yang jarang dibangkitkan namun sangat penting dalam proses penghasilan filem.
“Oleh itu kami ingin mengalau-alukan mereka yang ingin memulakan kerjaya dalam perfileman untuk menyertai bengkel ini untuk meneroka elemen-elemen asas perfileman,” katanya kepada TVS hari ini.
ACTION! terbahagi kepada dua sesi iaitu persidangan (RM65 seorang) pada 29 Oktober di Chemsain Building, Jalan Rock dan bengkel pada 30 Oktober di iCUBE, ICOM Square (RM35 setiap bengkel).
Selain itu, turut berkongsi maklumat dalam persidangan berkenaan ialah Eksekutif Kanan Pembangunan dan Pemerolehan Kandungan TVS, Ryan Lee dalam sesi ‘TVS’ Direction: From Local to Global Audiences’.
Bagi mereka yang berminat, daftar di pautan ini: https://m5.gs/TEVJRz atau hubungi Kally Teo di talian 016-892 8438. – TVS