KUCHING, 20 Okt : Datuk Joseph Salang Gandum berkata terserah kepada Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berhubung pemilihannya sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.
Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) itu berkata, beliau bersedia terhadap sebarang keputusan.
“Sekiranya diberikan watikah sebagai calon oleh GPS, saya akan bertanding,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada majlis pelancaran buku An Anthology of Indigenous People Issues di sini hari ini.
Sebelum ini bekas Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan itu menawarkan diri untuk bertanding di kerusi Parlimen Julau pada PRU-15 ini berdasarkan maklum balas di peringkat akar umbi.
Joseph Salang merupakan penyandang kerusi berkenaan selama empat penggal sejak PRU-10.
Pada PRU-13, beliau menang kerusi berkenaan dengan menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Andy Wong dan calon Parti Pekerja Sarawak, Wong Judat.
Ketika PRU-14 pada 2018 pula, kejutan berlaku apabila beliau tewas dengan majoriti 1,931 kepada Larry Sng yang bertanding atas tiket bebas di kerusi sama.
Ditanya tentang calon – calon yang bakal ditampilkan oleh PRS, Joseph Salang memaklumkan parti kini sedang meneliti nama – nama yang berpotensi.
“Senarai akhir akan diserahkan Pengerusi GPS.
“Kesemua parti komponen dalam GPS sudah tentu memuktamadkan calon masing-masing yang berpotensi untuk mendapat kelulusan daripada Abang Johari,”katanya. -TVS