KUALA LUMPUR, 20 Okt: Juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya melepasi tentangan pasangan Jerman, untuk mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua beregu lelaki kejohanan badminton Terbuka Denmark 2022, di Odense pada Rabu.
Pada aksi pusingan pertama yang berlangsung di Jyske Bank Arena, gandingan nombor satu negara itu menumbangkan Mark Lamsfuss-Marvin Seidel 21-18, 21-19 dalam pertarungan selama 36 minit, sekali gus melebarkan rekod kemenangan mereka ke atas pasangan ke-11 dunia itu.
Aaron-Wooi Yik yang merupakan gandingan di ranking keempat dunia, menang empat daripada lima pertemuan terakhir berdepan Lamsfuss-Seidel.
Gandingan negara itu akan membuat perhitungan menentang Lucas Corvee-Ronan Labar dari Perancis di pusingan kedua esok.
Pada masa sama, beregu campuran negara Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, turut melangkah ke pusingan kedua selepas menewaskan pasangan tuan rumah Mathias Chritian-Alexandra Boje 23-21, 21-13.
Pasangan ke-10 dunia itu, dijadual bertemu sama ada rakan sepasukan Goh Soon Huat-Lai Shevon Jemie atau Lee Jhe-Huei-Hsu Ya Ching dari Taiwan.
Dalam pada itu, nasib berbeza dialami pasangan beregu lelaki Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan gandingan beregu wanita Vivian Hoo-Lim Chiew Sien, selepas tewas kepada lawan masing-masing di pusingan pertama. -TVS