Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Perdana Menteri dari Sabah atau Sarawak, mengapa tidak – penganalisis

KUCHING, 20 Okt : Jawatan Perdana Menteri tidak seharusnya menjadi ‘milik mutlak’ pemimpin Semenanjung Malaysia sahaja, kata Dato Dr Jeniri Amir.
 
Beliau yang juga Felow Kanan Majlis Profesor Negara itu berkata, pemimpin di Sabah dan Sarawak wajar diberi peluang sama rata untuk memegang jawatan berkenaan.
 
Katanya, pemimpin dari Malaysia Timur bukan hanya sekadar ‘layak’ untuk jawatan Timbalan Perdana Menteri sahaja.
 
“Jawatan itu hendaklah diadili berdasarkan komitmen politik dan kebajikan kepimpinan mereka, bukannya faktor tempat asal,” katanya.
 
Beliau berkata demikian kepada TVS selepas menjadi tetamu rancangan Malaysia Decides terbitan stesen ini di sini hari ini.
 
Felow Kanan Majlis Profesor Negara, Dato Dr Jeniri Amir Foto TVS.
Mengulas lanjut, Jeniri berkata, ‘amat penting’ untuk rakyat berfikir di luar kotak bagi merealisasikan hasrat berkenaan.
 
“Kenapa (pemimpin Sabah dan Sarawak) perlu duduk di peringkat itu ialah kerana jawatan Perdana Menteri bukannya dikhaskan untuk pemimpin parti politik di Semenanjung Malaysia,”katanya.
 
Kata beliau, harapan itu mungkin tidak akan menjadi kenyataan dalam tempoh terdekat namun tidak mustahil boleh berlaku dalam tempoh 10, 20 atau 30 tahun akan datang.
 
“Ini kerana kita mempunyai pemimpin dari Sabah dan Sarawak yang bervisi, mempunyai komitmen dan kualiti kepimpinan,” tegasnya.
 
Dalam pada itu beliau berkata, tidak mustahil jawatan Perdana Menteri boleh dipegang oleh pemimpin Sarawak jika semua parti politik di Semenanjung Malaysia bersetuju dengan usul berkenaan.
 
“Apa yang penting bagi saya ialah kita perlulah mempunyai pemimpin mampu memacu negara ke tahap yang lebih tinggi, tidak kira asal usul mereka,”katanya.
 
Beliau menambah, Malaysia akan sukar ‘untuk melonjak ke tahap baharu’ sekiranya mempunyai Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri yang tidak berkredibiti. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan