KUCHING, 20 Okt : Pengumuman 19 November depan sebagai tarikh mengundi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dilihat ‘bebas’ pengaruh politik.
Namun demikian, penganalisis politik, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, beliau meramalkan pemilihan tarikh itu ‘tetap’ akan mendapat kritikan disebabkan beberapa faktor.
“Saya kira akan dipersoalkan seperti mengapa tidak dilangsung sebelum pertengahan bulan seperti 12 atau 13 November.
“Mungkin akan ada parti politik atau orang awam akan membangkitkan perkara ini,”katanya kepada TVS hari ini.
Awang Azman berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SRP) yang menetapkan tarikh berkenaan sebagai hari mengundi.
Menerusi sidang media hari ini, SPR turut memaklumkan hari penamaan calon diputuskan pada 5 November sekaligus menyaksikan kempen kali ini akan berlangsung selama dua minggu.
Ditanya mengenai ‘sebab’ SPR memilih tarikh berkenaan, ahli akademik di Universiti Malaysia (UM) itu berkata, pelbagai faktor perlu diambil kira sebelum membuat keputusan.
“SPR perlu mengambil pelbagai langkah untuk memastikan kelancaran pada hari mengundi.
“Ini tersebut termasuk aspek keselamatan, kesihatan dan kemudahan,”katanya.
Pada masa sama, Awang Azman meminta semua pihak menghormati keputusan berkenaan bagi memastikan pilihan raya berlangsung dengan lancar.
“Saya juga berpendapat SPR bertanggungjawab untuk memastikan kesihatan dan kemudahan pengundi terutamanya jika berlaku banjir pada tarikh itu,”katanya. -TVS