KUCHING 20 Okt: Dengan pemilihan Sabtu (19 November) sebagai hari mengundi adalah diharapkan peratusan pemilih berdaftar yang keluar mengundi akan lebih ramai.
Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) Dato Sri Fadillah Yusof berkata, pada Sabtu majoriti rakyat di segenap lapisan masyarakat dan di setiap pelusuk negara mempunyai lebih kelapangan untuk keluar mengundi dengan selesa.
Menurutnya lagi, tempoh 14 hari bermula 5 November, adalah memadai untuk semua parti yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) berkempen dan menyebarkan maklumat kepada pengundi.
Baca artikel di sini:
- 1. 19 Nov hari mengundi – SPR
- 2. Dua minggu tempoh kempen PRU-15
- 3. Lebih 21 juta pengundi akan pilih kerajaan baharu Malaysia
- 4. Lebih 1.9 juta pemilih di Sarawak layak mengundi
“Saya juga percaya kesemua parti yang akan bertanding telah bersiap sedia dan sudah turun ke akar umbi dari awal lagi memandangkan pilihan raya kali ini memang sudah dijangka akan diadakan pada bila-bila masa sahaja,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Beliau percaya bakal calon untuk setiap kawasan pilihan raya sudah pun mula menggerakkan aktiviti turun padang sejak awal lagi.
Pada zaman teknologi maklumat (IT) dan sebaran informasi ini juga setiap calon dan parti tentunya banyak menggunakan platform media sosial untuk berkempen dengan banyak maklumat boleh disampaikan kepada pengundi dalam sekelip mata, jelasnya.
GPS juga sudah bersiap sedia dan akan bertanding di semua kerusi Parlimen di Sarawak dengan perjuangan “Sarawak First”.
Pemimpin GPS juga bekerja sepanjang tempoh mandat diberikan dan sentiasa turun padang, bukan hanya menemui pengundi ketika kempen pilihan raya sahaja.
“Harapan kita ialah supaya semua parti dan calon yang akan bertanding serta jentera semua parti, mematuhi segala garis panduan dan undang-undang SPR bagi memastikan proses PRU-15 dapat berjalan lancar.
“Semoga sebuah kerajaan yang stabil dapat dibentuk selepas PRU15 demi rakyat dan Malaysia yang lebih makmur dan sejahtera,” ujarnya. -TVS