KUCHING, 18 Okt: Pustaka Negeri Sarawak bakal menganjurkan Festival Penulis-penulis Sarawak (SAF) keempat bermula 24 hingga 29 Oktober ini bertemakan “Legasi”.
Menurut kenyataan media Pustaka Negeri Sarawak hari ini, tema tersebut dipilih bagi memberi fokus kepada warisan, peninggalan atau kesan penulisan sama ada daripada penulis terdahulu sehingga sekarang dan pada masa hadapan.
“Program SAF2022 pada tahun ini akan diadakan secara serentak di ketiga-tiga kampus Pustaka Negeri Sarawak iaitu di Kuching, Sibu dan Miri.
“Ini adalah sebagai kesinambungan kepada program Sarawak Authors Festival yang diadakan pada 2017, 2018 dan 2020,” jelas kenyataan itu.
SAF2022 akan menyajikan pelbagai program serta aktiviti-aktiviti menarik yang akan diadakan menerusi norma baharu sesuai dengan situasi negara yang beralih ke fasa peralihan ke endemik Covid-19 sejak 1 April 2022.
Objektif utama program ini diadakan adalah untuk menggalakkan kreativiti penulisan dalam kalangan penulis tempatan dengan matlamat memelihara khazanah penulisan di Sarawak.
Program dan aktiviti akan diadakan secara hibrid sama ada fizikal dan dalam talian khusus oleh golongan penulis dan penerbit tempatan melalui perkongsian ilmu pengetahuan dan pengalaman dalam penghasilan hasil karya mereka dan seterusnya diketengahkan kepada umum.
Program-program yang diatur adalah dalam bentuk bengkel, ceramah, forum, seminar, perkongsian ilmu, Book Talk, Sarawak Authors Highlight, tarian, persembahan lagu-lagu tempatan daripada kumpulan buskers Sarawak, pameran dan penjualan buku.
Acara kemuncak adalah Program Hari Sihat SAF2022 yang bakal dikendalikan oleh penyampai terkenal Radio Era Sarawak, DJ Fir Affandi dan DJ Elya.
Para peserta akan berpeluang mengikuti perkongsian kesihatan seperti Tips Sihat: Makanan Sihat Minda Cerdas oleh Normah Medical Specialist Centre, Demo Makanan Sihat oleh Kuching Skills College dan Aktiviti Kecergasan: Aeromixthon kendalian Fit Aerobics and Dance Academy.
Penampilan khas yang pasti menjadi daya tarikan pada hari tersebut adalah persembahan dan celoteh daripada penghibur tempatan Winnie Albert.
Selain itu, bagi meraikan penulis dan penerbit Sarawak, Majlis Makan Malam (Sarawak Authors Gala Night) juga akan turut diadakan di Hotel Pullman, Kuching.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejateraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah dijangka akan merasmikan SAF.
Pelancaran Sarawak Authors Festival pada kali ini akan disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah.
Pada malam tersebut akan disampaikan dua anugerah utama iaitu Anugerah Penghargaan kepada Penulis dan Penerbit yang banyak menyerahkan karya penulisan mereka melalui Legal Deposit, Sarawak State Library Ordinance, 1999 dan Anugerah Perpustakaan Awam Premier Sarawak 2022.
Selain itu, acara pelancaran buku juga akan turut diadakan untuk mengetengahkan penerbitan buku-buku baharu terbitan penulis tempatan.
Pada tahun ini tujuh buku akan dilancarkan penulis dan penerbit tempatan. – TVS