KUCHING, 18 Okt: Pertama kali bertanding pada pilihan raya umum, Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menerbitkan manifestonya sendiri sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang berkata demikian menambah, GPS akan bertanding di atas satu perjuangan bertema ‘Sarawak First’.
“Ini (PRU-15) adalah pertama kali (GPS bertanding) dalam pilihan raya (kebangsaan) umum di mana kita bertanding atas kapasiti kita sendiri,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kepimpinan Tertinggi GPS di sini, hari ini.
GPS yang dianggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak Bersatu (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) keluar dari Barisan Nasional (BN) pada 2018, selepas PRU-14.
GPS membentuk kerajaan negeri selepas menang besar pada Pilihan Raya Negeri Ke-12, Disember 2021.
Abang Johari yang juga pengerusi GPS berkata gabungan itu akan bertanding di semua 31 kerusi Parlimen di Sarawak.
Mengenai calon, beliau berkata ia akan diumumkan apabila tiba masanya dan dalam kalangan mereka akan ada muka baharu.
“Saya akan memanggil anda semua (wartawan) apabila saya ingin mengumumkan calon. Sudah tentu saya akan memaklumkan kepada orang ramai siapa calon-calon kita nanti,” ujarnya.
Pada 10 Okt lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU-15 diadakan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadual mengadakan mesyuarat khas untuk membincang dan menentukan tarikh-tarikh penting PRU-15 pada Khamis ini. -TVS