Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Dr Annuar Rapaee. Foto TVS.

GPS berpeluang baik rampas Parlimen Sibu – Dr Annuar

SIBU, Okt 18 : Gabungan Parti Sarawak (GPS) mempunyai peluang yang baik untuk memenangi kerusi Parlimen Sibu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bersandarkan prestasi parti itu ketika Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12).

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Dr  Annuar Rapaee yang berkata demikian, menambah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka diwakilinya pada PRN-12 memperoleh majoriti lebih 10,000 undi.

“Jika dicampur semuanya (undi dari kawasan DUN Pelawan dan Bawang Assan), kita kemungkinan mempunyai peluang yang baik untuk memenangi Parlimen Sibu kali ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat PBB Nangka di sini pada Isnin malam.

Pada PRN-12, DUN Nangka dan Pelawan dimenangi GPS, manakala tewas di DUN Bawang Assan.

Barisan Nasional (sebelum GPS ditubuh) tewas tiga kali berturut-turut di Parlimen Sibu iaitu pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu 2010, PRU-13 dan PRU-14.

Dr Annuar yang juga Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat menegaskan untuk menang antara faktor mustahak ialah pemilihan calon. Calon GPS mestilah seseorang yang boleh berkhidmat kepada masyarakat di kawasan.

“Calon yang boleh berkhidmat maksudnya bukannya calon yang hanya boleh menyalak (berkata-kata). Ya, sudah tentu pandai berkata-kata itu penting, tetapi lebih penting jika kamu boleh berkhidmat kepada rakyat di Sibu.

“(Misalnya) untuk menyelesaikan masalah banjir, kita mahu calon yang boleh bekerja, begitu juga dengan masalah kesesakan lalu lintas. Jadi, tidak berguna jika kita memilih calon yang hanya pandai berkata-kata sahaja,” katanya.

Beliau berharap calon untuk kerusi Parlimen Sibu diumumkan secepat mungkin untuk memudahkan jentera pilihan raya GPS memperkenalkannya kepada masyarakat.

“Kami tidak kisah sama ada calon tersebut dari PBB, Parti Demokratik Progresif (PDP), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) atau Parti Rakyat Sarawak (PRS), tetapi calon itu mestilah calon yang boleh menang,” tegasnya.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan