KUCHING, 18 Okt: Kerajaan Sarawak komited dalam menambah baik sistem pengurusan air dan antara usaha ke arah itu ialah menerusi penganjuran Persidangan dan Pameran Air dan Sisa Kumbahan Antarabangsa Borneo (BIWWEC) 2022.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi berkata menerusi persidangan bermula 17 hingga 19 Oktober, panel dari dalam dan luar negara akan berkongsi kepakaran masing-masing yang boleh diguna pakai bagi menambah baik sistem pengurusan air di Sarawak.
Persidangan itu dianjurkan kerana menyedari Sarawak menghadapi pelbagai cabaran berhubung pengurusan air termasuk dalam bidang kebolehcapaian dan ketersambungan, bukan sahaja secara fizikal tetapi juga secara digital.
“Saya percaya menerusi penganjuran BIWWEC, kita akan dapat berkongsi pendekatan di Malaysia, khususnya di Sarawak untuk menyediakan pemindahan dan perbincangan pengetahuan yang cekap dan bermanfaat dengan wilayah lain.
“Kita juga dapat menimba ilmu daripada panel pakar untuk meningkatkan industri air kita ke tahap yang lebih baik pada masa hadapan, ” katanya ketika berucap pada Majlis Malam Gala BIWWEC 2022 di sini pada Isnin malam.
Persidangan yang bertemakan ‘Kelestarian dan Ketahanan Melalui Teknologi dan Inovasi Pintar’ itu menampilkan 30 panel pakar dari dalam dan luar negara bagi berbincang dan mencari solusi mengenai isu berkaitan pengurusan air.
Julaihi berkata lagi, menerusi persidangan itu juga kementerian dan agensi-agensi di bawahnya dijangka akan mendapat input berkaitan kos penyelenggaraan lebih rendah dan mampan.
“Besar harapan saya agar BIWWEC 2022 akan membantu negeri ini dan membantu mewujudkan sistem bekalan air yang boleh dipercayai, ekonomi dan mampan di seluruh Sarawak dan untuk meningkatkan ekonomi serta kesejahteraan masyarakat setempat kita,” katanya.