KUCHING, 17 Okt : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) disaran supaya segera membangunkan sistem undian dalam talian bagi membolehkan pengundi di luar kawasan dapat menunaikan tanggungjawab masing – masing pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.
Naib Yang Dipertua, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, beliau percaya SPR dapat melaksanakan langkah berkenaan berikutan kemajuan teknologi digital ketika ini.
“Kita percaya kepada sistem perbankan dalam talian untuk urusan transaksi kewangan.
“Jadi mengapa anda (SPR) tidak boleh cipta sistem serupa yang membolehkan pengundi memilih wakil rakyat mereka secara online, anda kena percaya sistem digital, jangan tidur,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas hasrat Kerajaan Sarawak untuk memberi subsidi tambang bagi membolehkan pelajar negeri ini yang menuntut di luar kawasan pulang mengundi.
Mengulas lanjut, Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak berkata, sekiranya kaedah mengundi dapat dilaksanakan secara dalam talian, ianya akan mewujudkan sistem pilihan raya yang lebih baik.
“Kita harus memandang ke hadapan,”katanya.
Sementara itu, Abdul Karim berkata, sekiranya perkara itu tidak dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat, SPR perlu memikirkan kaedah lain bagi membolehkan rakyat di luar kawasan untuk mengundi.
“Langkah lain ialah membenarkan pengundi di luar kawasan seperti pelajar Sarawak yang belajar di Semenanjung Malaysia mengundi secara pos,”katanya.
Terdahulu, Abdul Karim hadir pada Majlis Pelancaran Kempen MICA FOLIDAY di sini hari ini. -TVS