TASEK GELUGOR, 17 Okt : Perikatan Nasional (PN) menyambut baik kesediaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) membentuk kerajaan yang stabil dengan mana-mana gabungan politik yang dipilih rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, parti itu mempunyai hubungan baik bersama PN dalam kerajaan sebelum ini.
Ujarnya, pihaknya mengalu-alukan pandangan GPS bagi membentuk kerajaan yang stabil, namun ia tertakluk kepada keputusan PRU-15 kelak.
“Kita yakin hubungan yang wujud antara GPS dan PN adalah amat baik, sihat dan mesra.
“Selama ini GPS memang menyokong apa yang dilakukan oleh PN dan saya yakin GPS akan bersama-sama dengan kita,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Jelajah Prihatin Parlimen Tasek Gelugor yang turut dihadiri, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Terdahulu, Setiausaha Agung GPS, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, parti itu sedia bekerjasama dengan gabungan parti yang boleh menjamin kestabilan politik negara selepas selesai PRU-15.
Tanpa menamakan mana gabungan berkenaan, beliau yang juga Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), berkata ini merupakan prinsip GPS sejak dahulu. – TVS