MIRI, 17 Okt : Kerja membaik pulih kerosakan di Jalan Beraya-Kejapil di sini dijangka akan siap dalam tempoh 10 hari, kata Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Beliau yang juga Timbalan Premier Sarawak berkata, sebagai langkah sementara, satu laluan khas motosikal disediakan untuk digunakan penduduk yang mempunyai urusan untuk keluar dari situ.
“Saya berharap agar Jabatan Kerja Raya (JKR) dapat menyegerakan kerja – kerja membaiki jalan ini yang terputus dalam tempoh berkenaan.
“Sekiranya dibiarkan berlarutan, ianya akan menyusahkan penduduk di sini,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat lokasi berkenaan di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan negeri, Dr Ripin Lamat.
Pada 9 Oktober lepas, laluan itu mengalami kerosakan berikutan kejadian tanah runtuh disebabkan hujan berpanjangan.
Sementara itu, Ripin berkata, kerja – kerja membaik pulih telah dimulakan oleh JKR.
“Ini merupakan jalan utama penduduk ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Luar Bandar, beberapa buah rumah panjang dan kampung.
“Oleh itu laluan ini sangat penting kerana turut menghubungkan ke Bakong, Telang Usan,” ujarnya.-TVS