LANGKAWI, 17 Okt : Seorang lelaki warga Korea Selatan cedera parah dipercayai akibat terjatuh ketika mendaki di puncak air terjun Telaga Tujuh di Gunung Mat Chinchang di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi, Sallehuddin Darawi berkata, mangsa yang berusia 52 tahun itu terkandas dan mengalami kecederaan ketika berada di atas puncak air terjun berkenaan.
“Bomba menerima laporan berhubung insiden itu kira-kira pukul 1 petang sebelum pasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian.
“Pasukan bomba mengambil masa kira-kira sejam untuk naik ke atas puncak yang berketinggian kira-kira 90 meter dari kaki gunung.
“Ketika tiba di puncak, pasukan EMRS telah memberi rawatan awal kepada mangsa yang mengalami kecederaan tulang belakang dan tengkuk akibat terjatuh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ujarnya, mangsa berjaya dibawa turun ke kaki gunung pada pukul 2.54 petang menggunakan alat pengusung sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Maliha bagi mendapatkan rawatan lanjut. -TVS