Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Gira (tengah) menerima cendera hati daripada Penghulu Christoper Chat (tiga dari kanan) dalam Majlis Perasmian Persatuan Jawatankuasa Pembangunan Kawasan (JPK) pada Sabtu. Foto: TVS

Tiga calon berpotensi PRS untuk kerusi Parlimen Selangau

SIBU, 16 Okt : Parti Rakyat Sarawak (PRS) telah mengenal pasti tiga calon berpotensi bagi kerusi parlimen Selangau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kelak.

Perkara ini dimaklumkan oleh Ahli Majlis Tertinggi PRS Christopher Gira Sambang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin.

Menurut beliau, antara calon yang dikemukakan adalah Setiausaha Politik Premier Sarawak Edwin Banta, Ahli Dewan Negara Senator Rita Sarimah Patrick Insol dan Kaunselor Jawan Kiroh.

“Baru-baru ini, ketiga-tiga mereka telah berjumpa dengan Presiden PRS, Datuk Joseph Salang Gandum untuk membincangkan perkara tersebut.

“Perjumpaan dibuat bagi menentukan dan menilai siapa yang mampu menjadi ‘winnable candidate’ untuk kerusi Parlimen Selangau memandangkan kerusi tersebut harus dirampas kembali oleh PRS,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Persatuan Jawatankuasa Pembangunan Kawasan (JPK) Jalan Dijih Maga Sibu, pada malam Sabtu.

Bagaimanapun ujar Gira, senarai calon yang akan dikemukakan kelak bergantung kepada keputusan kepimpinan tertinggi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang merupakan Pengerusi GPS.

Sehubungan itu, beliau menyeru pengundi di kawasan Selangau untuk memberi sokongan padu kepada calon yang akan bertanding bagi merebut kembali kerusi berkenaan.

Berucap pada majlis yang sama, Gira menolak dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa hubungan PRS dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di kawasan Selangau keruh berikutan wujudnya banting-banting yang mengusulkan agar calon dari PBB bertanding di kerusi parlimen Selangau.

Jelas Gira, beliau telah menghubungi Setiausaha Agung PBB, Dato Sri Alexander Nanta Linggi mengesahkan bahawa kedua-dua pihak tidak mempunyai masalah seperti yang dikhabarkan.

“Individu yang bertindak memasang banting-banting tersebut adalah individu yang tidak bertanggungjawab dan ingin merosakkan hubungan antara parti dalam GPS.

“Ini bukan polisi GPS dan jangan percaya dengan khabar angin sebegini,” katanya lagi. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan