SIBU, 16 Okt : Hasrat seorang peniaga wanita di sini untuk membuat pinjaman bagi mengembangkan perniagaanya tidak kesampaian apabila kerugian RM153 928 akibat ditipu oleh sindiket pemberi pinjaman dalam talian.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili berkata, mangsa yang berusia 42 tahun tertarik dengan iklan di Facebook yang menawarkan pinjaman tanpa penjamin sebanyak RM300,000 pada 26 September lalu.
Katanya, mangsa kemudiannya berurusan dengan seorang perempuan Cina melalui aplikasi WhatsApp yang memintanya untuk membuat beberapa pembayaran sebelum permohonan diluluskan.
“Mangsa telah membuat sebanyak 28 transaksi pembayaran ke sembilan akaun bank melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM153 928,”katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Menurut Zulkipli, mangsa menyedari ditipu apabila kerap diminta membuat pembayaran selanjutnya.
“Peniaga kemudian mahu membatalkan permohonan namun dia dikehendaki membayar RM9,000 untuk proses berkenaan.
“Dia tidak berbuat demikian kerana menyedari telah menjadi sindiket penipuan,”katanya.
Zulkipli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. -TVS