Difahamkan, pihak polis menerima maklumat mengenai kejadian melibatkan mangsa berusia 68 tahun itu pada kira-kira 5.20 pagi tadi.
Mangsa dipercayai dipukul serta ditendang dan polis telah menahan suspek yang juga gelandangan berusia 51 tahun dalam masa yang singkat.
Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu dan akan mengeluarkan kenyataan media dalam masa terdekat. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Tinjauan Bernama di lokasi kejadian pagi ini mendapati masih terdapat kesan darah di lorong jalan itu dipercayai milik mangsa.
Seorang wanita yang bekerja di restoran berhampiran yang enggan dikenali memberitahu dia terdengar bunyi bising dan kaca pecah seperti berlaku pergaduhan ketika menyiapkan makanan pada kira-kira 5 pagi.
“Saya terus keluar untuk melihat kejadian dan menghubungi pihak polis untuk mendapatkan bantuan untuk mangsa itu yang biasa dilihat tidur di sekitar kawasan ini,” katanya. -TVS