LANGKAWI, 16 Okt : Seramai 46 pendaki terperangkap di kawasan Air Terjun Telaga Tujuh di sini akibat hujan lebat yang mencetuskan fenomena kepala air hari ini.
Kumpulan yang mula mendaki kira-kira pukul 4 pagi dan tiba di puncak bukit itu pada pukul 7.30 pagi dikatakan sedang berehat sebelum hujan lebat dan berlakunya fenomena kepala air.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.16 pagi sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi bergegas ke lokasi.
Kata jurucakap itu, pihaknya mendapati kira-kira 40 orang pendaki gunung berusia 30 hingga 40 tahun di kawasan air terjun tersebut telah terperangkap.
“Keadaan di tempat kejadian sebaik bomba tiba adalah hujan lebat dan arus deras ekoran terjadi kejadian kepala air.
“Pasukan membuat ikatan tali bagi menyeberangi sungai untuk anggota penyelamat bergerak ke lokasi mangsa terperangkap,” katanya kepada pemberita hari ini
Setakat ini usaha menyelamat mangsa masih lagi dilakukan oleh pasukan bomba.
Dalam pada itu, kejadian hujan lebat sejak pagi tadi menyebabkan beberapa kawasan rendah di pulau peranginan ini dinaiki air termasuklah Kampung Teluk Yu, Kampung Sungai Itau, Kampung Kilim, Pulau Tuba, Telaga Tujuh dan Kampung Belanga Pecah.
Turut terjejas adalah di Jalan Penarak, Telaga harbour Pantai Kok, Kampung Kilim, Kampung Belanga Pecah, Teluk Yu, Jalan Kelubi, Kampung Padang Putih dan Kampung Padang Gaong.
Bagaimanapun, menurut jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Langkawi, tiada pusat pemindahan dibuka setakat pukul 2 petang. – TVS