KULIM, 15 Okt : Seorang wanita warga emas berdepan detik cemas apabila disamun dua lelaki yang berpura-pura mahu membeli serai di hadapan rumahnya di sini pada Khamis.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.50 tengah hari itu, mangsa berusia 71 tahun dikatakan sedang menyapu sampah di hadapan rumah sebelum didatangi dua lelaki bersama seorang kanak-kanak lelaki yang menaiki sebuah motosikal.
Suspek dipercayai membawa kanak-kanak yang dianggarkan berusia tiga tahun itu bagi meyakinkan mangsa.
Menurut Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd. Redzuan Salleh, suspek yang menaiki motosikal berpura-pura bertanyakan mengenai pokok serai yang ditanam mangsa.
Katanya, suspek memberitahu dia mahu membeli serai berkenaan, manakala nenek tersebut mempercayai suspek.
“Semasa hendak menghulurkan wang kepada mangsa, suspek terus meragut rantai leher emas yang dipakainya sebelum melarikan diri dengan motosikal.
“Semasa kejadian, hanya terdapat mangsa bersama cucunya yang berusia empat tahun di halaman rumah tersebut, manakala tiada saksi atau jiran yang melihat kejadian itu,” katanya kepada pemberita hari ini.
Ujar beliau, akibat kejadian berkenaan, nenek tersebut mengalami kesan merah pada leher akibat rentapan selain kerugian kira-kira RM5,000.
Polis sedang melakukan siasatan lanjut bagi mengesan suspek yang terbabit.
Kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan. – TVS