SANDAKAN, 15 Okt : Dua puluh lima kerusi Parlimen di Sabah akan diagih secara sama rata antara Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, senarai calon BN sedang dimuktamadkan dan diharap tiada pertembungan kerusi seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebelum ini.
“Kita rancang untuk umumkan calon-calon BN dan GRS serentak dalam masa terdekat ini.
“Oleh itu untuk situasi menang-menang, bermakna ada separuh untuk calon BN,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kinabatangan 2022 di Dewan Masyarakat Sandakan di sini, hari ini.
Menurut Bung Moktar, BN akan mengetengahkan kira-kira 80 peratus muka baharu pada PRU-15.
Beliau berharap mereka yang tidak dicalonkan agar tidak berkecil hati, sebaliknya membantu memastikan kemenangan calon BN. -TVS