Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
(Dari kiri) Natasha, Shusheel, Calvin, Lulu dan Aloysius pada sesi taklimat SPR di Dewan Masyarakat Kuching pada Selasa.
(Dari kiri) Natasha, Shusheel, Calvin, Lulu dan Aloysius pada sesi taklimat SPR di Dewan Masyarakat Kuching pada Selasa.

Lima rakan sekerja teruja menimba pengalaman baharu sebagai petugas pilihan raya

KUCHING, 15 Okt: Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sudah pasti akan menjadi kenangan kepada lima rakan sekerja bukan kerana mereka teruja hendak mengundi tetapi terbabit dalam proses pilihan raya setelah dilantik menjadi pegawai pilihan raya.

Lulu Law yang bertugas di Unit Komunikasi, Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) berkata dia tidak pernah gagal menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi tetapi kali ini yang pertama baginya memikul tanggungjawab dalam proses mengendalikan pilihan raya.

“Saya ditanya oleh pihak atasan, Calvin Yeo beberapa minggu yang lepas samada berminat menjadi kerani pengiraan undi pada PRU-15.

“Tanpa berfikir panjang, saya menjawab ya kerana saya ingin melihat bagaimana proses pengendalian pilihan raya dijalankan kerana saya tidak pernah mengalaminya,” kata Lulu yang ditemui baru-baru ini.

Rakan Lulu, Shusheel Kaur pula berkata dia perlu menunaikan undi awal pada PRU-15 ini.

“Pada hari pengundian, kami (petugas pilihan raya) akan bertugas bermula 6.30 pagi hingga pengiraan undi.

“Meskipun perlu bangun seawal 5 pagi pada hari pengundian, saya tidak kisah kerana akan menggalas tanggungjawab murni dengan terbabit dalam proses pilihan raya.

“Kami telah diberi penerangan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada minggu lepas mengenai peranan dan apa yang perlu kami lakukan,” kata Shusheel.

Natasha Hezner tidak kurang teruja menanti hari bertugas sebagai petugas pilihan raya.

“Saya tidak pernah terfikir akan dipilih sebagai salah seorang dalam pasukan petugas pilihan raya.

“Saya sangat teruja kerana ini peluang ini susah hendak dilepaskan,” katanya.

Bagi Aloysius Claudius, dia enggan melepaskan peluang untuk mempelajari lebih lanjut mengenai proses demokrasi dengan menyahut cabaran untuk menjadi petugas pilihan raya.

“Ini merupakan kali pertama saya terbabit sebagai petugas pilihan raya. Saya percaya ia akan membuka perspektif baharu mengenai proses pilihan raya kerana selama ini saya cuma memerhati proses pilihan raya diadakan,” jelasnya.

Sementara itu, Yeo yang merupakan bekas setiausaha eksekutif Pemuda SUPP Pusat, bertugas semasa pilihan raya bukan lagi satu benda baharu.

“Cuma kali ini saya akan mengetuai pusat mengundi yang memerlukan saya memerhati keseluruhan proses bermula dari proses mengundi hingga ke pengiraan undi,” katanya.

Sesi taklimat kepada petugas pilihan raya bagi kawasan Parlimen Bandar Kuching oleh SPR diadakan pada Selasa lepas di Dewan Masyarakat Kuching.

Lima rakan setugas ini akan ditempatkan di SJK(C) Chung Hua Pending semasa hari mengundi yang bakal diumumkan oleh SPR kelak.

PRU-15 akan diadakan selepas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan