https://youtu.be/We18v5ix0AE
SPAOH, 15 Okt: Kempen pilihan raya berbaur perkauman umpama menuang tuba ikan yang dikhuatiri akan menjejaskan keharmonian antara pelbagai kaum di Sarawak.
Demikian menurut Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang menambah kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) mesti mengelakkan isu-isu sensitif berkaitan kaum dan agama.
“Dalam masyarakat majmuk seperti Sarawak kita tidak seharusnya menggunakan taktik sedemikian. Ia adalah taktik paling negatif dan paling tidak menyenangkan untuk memancing undi,” katanya pada majlis perjumpaan guru-guru Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Bahagian Betong di sini, hari ini.
Sarawak terkenal dengan perpaduan erat antara kaum dan agama.
“Adalah menjadi harapan kami perpaduan ini kekal. Mari kita tolak mana-mana calon yang mengambil kesempatan dalam isu sedemikian hanya untuk tujuan meraih undi,” tegasnya.
Pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN-12), beliau berkata pembangkang mendakwa kekurangan pembangunan dilaksana kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Mengenai peranan guru KEMAS, beliau berkata mereka mempunyai peranan penting dalam pendidikan awal kanak-kanak prasekolah.
“Kita menghargai mereka kerana memberikan bimbingan dan maklum balas yang berharga mengenai isu dan masalah, termasuk mengenai situasi politik di lapangan,” ujarnya.
Sementara itu, Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berkunjung ke beberapa lokasi di kawasannya.
Antara lain, beliau berkunjung ke Rumah Richard Kadir di Melabu untuk meninjau beberapa projek termasuk ternakan ikan tagang dan projek perlindungan alam sekitar.
Pada sebelah petangnya Uggah menyerahkan geran berjumlah RM100,000.00 kepada 10 organisasi.