KUCHING, 15 Okt : Seorang lelaki autisme yang hilang di hutan Gunung Bajo, Lundu sejak 5 Oktober lalu dijumpai dalam keadaan selamat hari ini.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi Negeri, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, anggota Balai Bomba dan Penyelamat Lundu menerima panggilan pada jam 8.14 pagi daripada keluarga mangsa yang memaklumkan bahawa lelaki berumur 21 tahun itu telah dijumpai.
“Illias IIIyasa Bujang kini berada di rumah keluarga. Anggota bomba telah bergerak ke rumah keluarga mangsa bagi mengesahkan penemuan mangsa,” jelas kenyataan itu.
Baca artikel berkaitan:Â Operasi SAR lelaki autisme hilang di Gunung Bajo masuk hari keempat
Menurut pihak bomba lagi, mangsa telah dijumpai oleh orang kampung, Mat Noh Bin Tapa, yang ketika itu dalam perjalanan ke kebunnya pada jam 7.50 pagi tadi, kira-kira 631 meter dari rumah mangsa.
Pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia telah melakukan rawatan awal serta memeriksa keadaan mangsa, namun dia tidak mengalami sebarang kecederaan.
Terdahulu, dia dilaporkan hilang pada 5 Oktober lalu kira-kira pukul 10 malam.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bermula sejak pagi 6 Oktober. – TVS