KUALA LUMPUR, 15 Okt : Penyandang kerusi Parlimen Petra Jaya, Dato Sri Fadillah Yusof merupakan calon yang berpotensi untuk menang jika dicalonkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Abang Johari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata, beliau yakin perkara itu ‘boleh berlaku’ sekiranya Menteri Kanan Kerja Raya itu ‘dipilih semula’ oleh GPS.
“Saya percaya Dato Sri Fadillah Yusof boleh menang jika beliau dicalonkan semula pada PRU nanti,” katanya yang mendapat tepukan gemuruh tetamu pada majlis makan malam sempena Program Lan Berambeh Anak Sarawak 2022 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini.
Turut hadir tiga Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Dato Sri Dr. Sim Kui Hian.
Fadillah mula menang kerusi berkenaan sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2004.
Pada PRU-14, beliau sekali lagi menang di Petrajaya dengan majoriti 15,017 undi. – TVS