KUCHING, 14 Okt : Sarawak berpotensi untuk menjadi pembekal makanan di peringkat global, kata Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Negeri berkata, ini berdasarkan faktor keluasan tanah dimiliki Sarawak yang boleh dimanfaatkan untuk tujuan pertanian.
Katanya, hasrat berkenaan juga tidak mustahil untuk dijayakan berikutan usaha berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkasa sektor pertanian.
“Kita melihat untuk menghasilkan lebih banyak makanan untuk kegunaan domestik di Sarawak dan kemudian eksport ke seluruh dunia yang akan memberi manfaat ekonomi kepada petani.
“Saya berharap kementerian sama ada di peringkat Persekutuan atau negeri serta agensi akan memulakan perkara ini, sekurang-kurangnya boleh membantu dunia mendepani masalah keselamatan makanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan E.A.T Taste of Borneo 2022 di sini, hari ini.
Persidangan ini kali pertama dianjurkan di Sarawak bertujuan untuk mencapai tiga matlamat pembangunan lestari digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu sifar kelaparan, penggunaan mampan dan corak pengeluaran serta tindakan perubahan iklim.
Ini selaras dengan misi Sarawak ketika ini yang berusaha untuk berkembang menjadi sebuah negeri dengan destinasi pelancongan yang bertanggungjawab dan mampan.
Persidangan ini berlangsung selama tiga hari bermula 14 hingga 16 Oktober dengan menampilkan 30 panel dari dalam dan luar negara. – TVS