KUCHING, 14 Okt : Perdana Menteri yang dilantik selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini perlu mengambil langkah berani dengan melantik Timbalan Perdana Menteri dari Sabah atau Sarawak, kata Dato Dr Jeniri Amir.
Felow Kanan Majlis Profesor Negara itu berkata, pemilihan ‘bakal’ Timbalan Perdana Menteri itu juga boleh dilakukan dengan memilih wakil parti politik dari dua wilayah berkenaan yang memenangi kerusi terbanyak pada PRU-15.
Kata beliau, ini bagi memastikan erti sebenar gagasan Keluarga Malaysia dapat diangkat ke satu tahap yang lebih bermakna.
“Pihak yang membentuk kerajaan baharu selepas PRU15 perlu memikirkan langkah terbaik untuk mengiktirafkan Sabah dan Sarawak sebagai wilayah,”katanya kepada TVS hari ini.
Mengulas lanjut mengenai calon bakal Timbalan Perdana Menteri itu, Jeniri berkata, sekiranya GPS menang lebih banyak kerusi berbanding parti di Sabah, maka jawatan itu perlu diserahkan kepada wakil GPS.
“Perdana Menteri yang akan datang bukan sekadar mewujudkan jawatan menteri kanan seperti yang diamal sebelum ini.
“Jawatan itu penting bagi memastikan bahawa tiga wilayah, iaitu Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia diberi kedudukan yang sama taraf,”katanya.-TVS