Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berharap PRU-15 bakal menjadi wadah terbaik untuk pengundi Sarawak membina kestabilan politik negara. Foto Facebook DS Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

GPS mampu perjuangkan kepentingan Sarawak di Persekutuan

ByLuqman Muhammad

KUCHING, 14 Okt : Gabungan Parti Sarawak (GPS) mampu menjadi wakil berwibawa untuk memperjuangkan kepentingan rakyat Sarawak di peringkat Persekutuan, kata Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Simanggang menyeru pengundi di negeri ini supaya memberi sokongan padu kepada calon GPS pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.

“Ini kerana hanya menerusi kemenangan besar yang diraih, GPS mampu menjadi suara yang memperjuangkan kepentingan rakyat Sarawak,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Sementara itu, Wan Junaidi yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) turut menyatakan penghargaan kepada pengundi di Parlimen Santubong yang telah memilihnya sebagai wakil rakyat sejak 2004.

“Sokongan dan kepercayaan kalian amat bermakna kepada saya.

“Jumlah undi dan majoriti yang sentiasa bertambah untuk saya setiap kali PRU telah menjadi pemangkin semangat kepada saya untuk meningkatkan perkhidmatan,”katanya.

Pada masa sama beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kerana memberi kepercayaan kepadanya sebagai wakil rakyat PBB untuk berkhidmat di peringkat Persekutuan.

Menurutnya selama 13 bulan sebagai menteri yang menjaga undang-undang dan parlimen, beberapa perubahan signifikan melibatkan Perlembagaan Persekutuan berjaya dilaksanakan.

“Ini termasuk Pindaan Perlembagan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), larangan bertukar parti bagi wakil rakyat dan pelaksanaan Undi 18,” tambahnya.

Sehubungan itu beliau berharap PRU-15 bakal menjadi wadah terbaik untuk pengundi Sarawak membina kestabilan politik negara dan kesejahteraan Keluarga Malaysia di seluruh negara. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan