KUCHING, 14 Okt : Penduduk Taman Serambi, Samariang Aman, di sini gempar dengan penemuan seekor buaya ‘sesat’ dalam parit di situ pagi tadi.
Menurut kenyataan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya, pihaknya menerima panggilan memaklumkan kejadian itu pukul 10.16 pagi.
“Setibanya di lokasi, anggota mendapati buaya itu berada dalam parit berhampiran taman permainan.
“Seramai lapan orang anggota kemudian segera bertindak mengikat mulut buaya itu dengan tali dalam usaha menangkapnya.
“Ini juga untuk mengelak sebarang risiko,” kata BBP berkenaan menerusi kenyataan media.
Buaya itu kemudian diserahkan kepada Jabatan Hutan Sarawak (SFC) untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, SFC memaklumkan, reptilia yang ditangkap itu disahkan sebagai buaya jantan dengan panjang mencecah 10 kaki. -TVS