KUALA LUMPUR, 14 Okt : Setelah dua tahun tidak dianjurkan akibat pandemik COVID-19, Program Lan Berambeh Anak Sarawak di ibu negara kembali pada tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, acara pada tahun ini bagaimanapun menghadkan jemputan seramai 6,200 orang sahaja.
“Sebelum ini, Lan Berambeh Anak Sarawak pernah dihadiri lebih 16,000 orang namun berikutan situasi semasa, penganjur mengambil langkah berhati – hati,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau persiapan acara itu di sini hari ini.
Lan Berambeh Anak Sarawak 2022 yang akan berlangsung esok dianjurkan oleh Persatuan Sukarelawan Sarawak dengan sokongan Kerajaan Sarawak dan Pejabat Perhubungan Sarawak, Kuala Lumpur.
Sementara itu, Fadillah memberitahu, sebanyak 28 reruai pameran daripada pelbagai agensi kerajaan dibuka sempena acara itu.
Pameran itu katanya bertujuan untuk memberi maklumat mengenai perkhidmatan yang disediakan membabitkan agenda pembangunan di Sarawak.
“Kali ini kita mengetengahkan pameran daripada agensi-agensi kerajaan yang memberi fokus kepada Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030,”katanya.
Menurut Fadillah ini akan membolehkan rakyat Sarawak di Semenanjung Malaysia mengetahui agenda pembangunan yang dirancang oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. -TVS