GEORGE TOWN, 13 Okt : Keputusan sama ada Pulau Pinang akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) atau sebaliknya akan diketahui esok menerusi pengumuman rasmi Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya telah bersetuju untuk membubarkan DUN namun tertakluk kepada keputusan mesyuarat PH yang diadakan semalam.
“DAP Pulau Pinang telah cuba sedaya upaya membawa hujah terbaik kepada DAP Pusat untuk kaji semula keputusan mengadakan (pilihan raya) serentak.
“Kita dapat yakinkan DAP Pusat untuk bawa isu ini ke mesyuarat PH dan kita akan tunggu pengumuman rasmi esok,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, Kon Yeow berkata, Pulau Pinang berhasrat membubarkan DUN bagi membolehkan pilihan raya negeri dijalankan serentak dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) selepas mendengar pandangan dan rintihan rakyat negeri ini selain melihat faktor logistik yang lebih memudahkan.
Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen untuk memberi laluan kepada PRU-15.
Dua lagi negeri di bawah pimpinan PH iaitu Selangor dan Negeri Sembilan setakat ini kekal dengan keputusan tidak membubarkan DUN.
PAS yang menguasai pentadbiran di Kedah, Kelantan dan Terengganu hari ini memaklumkan DUN di tiga negeri itu tidak akan dibubarkan.
Sementara itu Sabah, Melaka, Sarawak dan Johor pula tidak perlu membubarkan DUN masing – masing kerana baharu sahaja melangsungkan Pilihan Raya Negeri (PRN). -TVS