KUALA LUMPUR, 13 Okt : Selepas beberapa minggu berteka – teki, PAS akhirnya memilih Perikatan Nasional (PN) sebagai ‘regunya’ bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, keputusan itu dibuat menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat hari ini.
Kata Abdul Hadi, PAS memilih untuk memperkukuhkan kerjasama dengan PN atas prinsip penyatuan ummah.
“Selain itu mesyuarat turut memuktamadkan perbincangan mengenai kerusi-kerusi di negeri dengan PN manakala senarai calon dari negeri perlu dibawa untuk penilaian Majlis Syura Ulama,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Sebelum ini, PAS dilaporkan menimbangkan untuk bekerjasama dengan UMNO pada PRU-15 atas faktor penyatuan ummah.
Kelmarin, Bendahari Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kerjasama itu tidak disentuh dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN.
Sementara itu, Abdul Hadi berkata, PAS mengekalkan pendirian untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Terengganu dan Kedah yang ditadbirnya ketika ini. -TVS