KUCHING, 13 Okt : Ombudsman Sarawak telah mempamerkan prestasi memberangsangkan dalam menangani aduan secara cekap dan berkesan dalam tempoh empat tahun lepas.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, selain menangani aduan, ombudsman di negeri itu telah mengambil inisiatif untuk memperluas fungsinya dengan memeriksa projek yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri terutama yang sudah lama tertangguh atau berada dalam keadaan kritikal.
“Ombudsman Sarawak akan, jika relevan, membuat cadangan penambahbaikan kepada proses dan prosedur atau apa-apa perkara lain yang berkaitan dengan pentadbiran awam.
“Kami mahu Ombudsman kami setanding dengan ombudsman terkemuka lain ketika menjalankan peranan dan tanggungjawabnya,” katanya dalam ucaptama semasa pelancaran Hari Ombuds 2022 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Abang Johari juga berkata rakyat perlu mengakui bahawa perkhidmatan ombudsman adalah percuma, boleh diakses oleh semua dan bermanfaat kepada orang ramai sebagai alternatif bagi penyelesaian pertikaian.
Bertema ‘Ombuds: Resilience, Respect, Resolve,’ acara dua hari itu anjuran Unit Integriti dan Ombudsman negeri itu dihadiri 400 peserta daripada pelbagai agensi iaitu Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional, Institut Integriti Malaysia serta Ombudsman Perkhidmatan Kewangan. -TVS