KUCHING, 13 Okt: Industri hiburan tanah air memerlukan sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh bagi memastikan kelangsungan industri itu lebih-lebih lagi ketika ekonomi tidak menentu.
Penyanyi dan komposer terkenal, Ajai atau nama sebenarnya Muhammad Faizal Maas berkata pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) merupakan perkara yang dinanti-nantikan rakyat untuk memilih kerajaan dengan harapan akan membawa kestabilan politik.
“Setiap individu mengimpikan sebuah kerajaan yang kukuh dan diharapkan PRU kali ini kita akan memperolehinya. Kita memerlukan kerajaan kukuh dan memahami keperluan rakyat terutamanya generasi masa kini.
“Muzik bagaikan fesyen, begitu juga politik yang memerlukan perubahan mengikut kehendak rakyat, “ katanya kepada TVS di sini pada Rabu.
Mengulas mengenai penglibatan artis dalam arena politik, Ajai berkata hiburan dan politik adalah bidang yang sangat berbeza dan tidak boleh dicampur adukkan.
“Saya tak galakkan (artis menceburi politik) sebab saya ada prinsip sendiri. Setiap orang yang bergelar insan seni adalah milik masyarakat dan keutamaan mereka ialah untuk menghiburkan masyarakat menerusi lakonan dan nyanyian.
“Bagi saya, kelebihan yang ada pada mereka (artis) dalam politik hanya paras rupa, tapi ilmu tentangnya saya tak rasa mereka boleh miliki kerana ilmu politik bukan boleh dipelajari dalam masa setahun, “ katanya.-TVS