Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel dan Hirotaka Suzuki bertukar dokumen MoU sambil disaksikan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Tenaga boleh diperbaharui beri kelebihan kepada Sarawak tarik pelabur asing

ByTiana Azni

KUCHING, 12 Okt: Penerokaan tenaga boleh diperbaharui memberi kelebihan kepada Sarawak untuk menarik minat pelabur asing berbanding negara lain di rantau ini, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya, ketika dunia berhadapan dengan perubahan iklim dan persaingan dalam tenaga boleh diperbaharui dan hijau, Sarawak berada pada landasan yang betul dalam usaha menarik kemasukan pelaburan asing.

“Penjanaan tenaga hidro elektrik di Sarawak dengan jumlah kapasiti sebanyak 3,452 megawat membolehkan Sarawak menyediakan tarif elektrik yang kompetitif di rantau ini,” katanya berucap pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pertama Ferroalloys Sdn Bhd dan kerajaan Sarawak di Tokyo pada Isnin.

Menerusi MoU itu, Ferroalloys, sebuah syarikat pelebur feroaloi dan ferosilikon akan mengembangkan operasinya di Taman Perindustrian Samalaju, Bintulu dengan jumlah pelaburan USD600 juta.

Ketika berucap pada majlis itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Pertama Ferroalloys atas keputusan untuk membesarkan loji dan hasrat mereka memperkenalkan beberapa inisiatif sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat kepada Sarawak, terutama dalam pembangunan sumber manusia.

“Sarawak kekurangan sumber manusia, terutama dalam bidang Sains Bahan,” katanya merujuk kepada bidang berkaitan dengan operasi Pertama Ferroalloys.

Beliau mencadangkan pengurusan syarikat berkenaan berbincang dengan Setiausaha Kerajaan Negeri bagi merangka program termasuk biasiswa bagi membiayai pelajar-pelajar Sarawak menerusi Yayasan Sarawak untuk meneruskan pengajian dalam bidang dipilih.

Mengenai permit kerja, Abang Johari berkata kerajaan Sarawak memutuskan untuk memberi permit kerja lima tahun kepada ekspatriat merangkumi jurutera dan saintis untuk bekerja di negeri ini, seterusnya menyumbang terhadap pembangunan negeri.

Pengerusi Asia Minerals Limited dan Pertama Ferroalloy, Hirotaka Suzuki berkata setelah pembesaran loji itu kelak, syarikat memerlukan 1,000 pekerja dan 90 peratus daripada jumlah kekosongan itu akan diisi oleh penduduk tempatan.

Tenaga boleh diperbaharui Sarawak pikat pelaburan asing

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Perancangan dan Pembangunan Ekonomi) Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel dan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain.

Premier Sarawak dan rombongannya tiba di Tokyo pada Isnin bagi menghadiri forum hidrogen anjuran Kerajaan Metropolitan Tokyo dan beberapa program lain termasuk majlis menandatangani MoU berkenaan.

Sebelum majlis MoU, beliau menerima kunjungan hormat daripada syarikat Jepun, Marubeni Corporation yang antara lain memberi taklimat mengenai operasi syarikat itu dan bidang berpotensi untuk menjalinkan kerjasama dengan Sarawak.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan