Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Sepasukan anggota polis yang sedang menjalankan siasatan di lokasi kemalangan jalan raya di Jalan Besar Tambun di sini terkejut apabila menjumpai mayat yang sudah reput awal pagi tadi.

Siasat kemalangan jalan raya, jumpa mayat reput

IPOH, 12 Okt : Sepasukan anggota polis yang sedang menjalankan siasatan di lokasi kemalangan jalan raya di Jalan Besar Tambun di sini terkejut apabila menjumpai mayat yang sudah reput awal pagi tadi.

Mayat yang dipercayai wanita itu ditemukan kira-kira dua meter dari lokasi sebuah kereta jenis Proton Iswara Aeroback terbabas ke dalam longkang di tepi jalan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, pasukannya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan kemalangan jalan raya pada pukul 5.25 pagi.

Ujarnya, kemalangan tersebut melibatkan pemandu iaitu seorang lelaki warga tempatan yang telah diselamatkan dan tidak mengalami kecederaan.

“Bagaimanapun, semasa menjalankan siasatan, polis menemui satu mayat reput di dalam kawasan semak kira-kira dua meter dari kereta yang terbabas.

“Mayat itu dalam keadaan lengkap berpakaian selain tiada kesan kecederaan ketara diperhatikan di atas tubuh badannya,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, mayat kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini bagi urusan bedah siasat dan untuk mengetahui punca kematian.

“Kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan bedah siasat daripada pihak hospital,” ujarnya.

Sementara itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes itu untuk menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Josin Amatin di talian 016-2222491 bagi membantu siasatan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan