KOTA SAMARAHAN, 12 Okt : Sarawak menjadi negeri pertama di Malaysia yang membangunkan Indeks Kesejahteraan Sosial (SSWI), kata Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah.
Menurutnya, SSWI bertujuan untuk mengukur tahap kesejahteraan sosial dan mengenal pasti domain sosial yang mencorakkan kesejahteraan hidup rakyat di Sarawak.
“Kementerian mengambil kira domain-domain yang relevan untuk mengukur tahap kesejahteraan sosial di Sarawak dengan lebih tepat.
“Berdasarkan maklum balas oleh seramai 1,581 responden yang menyertai kajian ini, dapatan kajian menunjukkan tahap kesejahteraan sosial di Sarawak berada di tahap sederhana dengan nilai skor 6.21,” katanya ketika merasmikan penutupan Simposium Kebangsaan Kesejahteraan Psikologi 2022 (SKeP2022) di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di sini hari ini.
Menurut Fatimah, kajian SSWI dilaksanakan bermula pada 25 Jun 2019 sehingga 24 Jun 2020 dengan kerjasama Universiti Malaya (UM).
Katanya, kajian berkenaan menggunakan tiga skala skor indeks iaitu tahap rendah (skor 0-4), sederhana (skor 5-7) dan tinggi (skor 8-10).
“Terdapat 10 tunjang transformasi sosial dalam kajian iaitu institusi keluarga, pembinaan kapasiti masyarakat, perumahan dan keharmonian masyarakat, “ katanya.
Beliau memberitahu, turut dinilai ialah aspek keselamatan awam, tanggungjawab sosial, ruang dan prasarana sosial, amalan tadbir urus yang baik, kelestarian alam sekitar dan perlindungan sosial serta kesihatan. – TVS