KUCHING, 12 Okt : Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menggunakan pendekatan kempen secara berkunjung rumah ke rumah bagi mendekati pengundi di kawasan luar bandar.
Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Abdullah Saidol berkata, pendekatan itu berkesan malah penduduk juga sentiasa mengalu-alukan kedatangan wakil rakyat ke kawasan mereka.
“Di luar bandar, lebih baik (kita) bersemuka dengan masyarakat. (Calon) jangan takut mengenai soalan yang akan diajukan termasuk yang kritikal kerana mereka mampu untuk menjawab. Ini menunjukkan kredibiliti sebagai pemimpin yang bagus,” katanya kepada TVS, hari ini.
Sementara itu, Abdullah yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) berkata, pendekatan kempen yang akan digunakan oleh GPS di kawasan bandar pula berbeza.
“Kita akan berkempen menerusi media sosial kerana di bandar, capaian internetnya lebih bagus. Platform media sosial paling menarik, jadi kita akan menggunakan sepenuhnya Facebook dan Instagram,” katanya.
Bagaimanapun Abdullah berkata, calon tetap perlu turun padang bagi membina hubungan yang baik dengan masyarakat sekaligus meraih sokongan diperlukan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). -TVS