Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Antara rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia di Kemboja.

EKSKLUSIF : Temu bual TVS dengan rakyat Malaysia jadi hamba abdi di Kemboja

BySyah Hairizal Kamalul Arifin

KUCHING, 12 Okt : Niat asal sekumpulan rakyat Malaysia ini ialah mereka ingin bekerja dan meraih pendapatan lumayan di luar negara.

Kemudiannya, mereka mahu membantu keluarga masing – masing di tanah air.

Namun mereka tidak menyangka impian itu punah selepas ditipu oleh ajen durjana yang bersekongkol dengan sindiket pemerdagangan manusia.

Lebih kejam, mereka menjadi hamba abdi di Kemboja apabila ‘dilatih’ menipu mangsa yang dikenali menerusi media sosial.

Apa nasib 20 rakyat Malaysia terkandas di Kemboja

Bersabar selama lebih empat bulan, kumpulan ini akhirnya berjaya melarikan diri namun ‘bala’ lain pula yang menanti.

Diburu anjing sindiket

Ini kerana mereka mendakwa nyawa masing – masing dalam bahaya kerana diburu oleh anjing sindiket.

TVS berjaya menemubual secara eksklusif dengan salah seorang mangsa penipuan tersebut.

Simon (bukan nama sebenar) berkata, rasa curiga mula timbul apabila mereka disuruh menghafal skrip sebelum memulakan pekerjaan.

Skrip yang dihafal adalah berkaitan pelaburan dan menggunakan media sosial sebagai platform menipu pelabur antarabangsa.

Disuruh buka Twitter untuk jerat mangsa

“Selain menghafal skrip selama empat hari, kami kemudian diminta supaya membuka akaun Twitter,” kata Simon.

Arahan seterusnya ujar lelaki itu, mereka disuruh ‘jatuh cinta’ dengan pengikut yang di laman sosial berkenaan.

Kata Simon, jika tidak menjalankan kerja, mereka akan diseksa dan tidak diberikan gaji.

“Selain itu jika kami mahu pulang ke Malaysia, sindiket meminta bayaran sebanyak lima ribu dolar,” katanya.

Lebih menakutkan kata Simon, sekiranya ada di antara mereka yang ‘ditangkap’ berhubung dengan orang luar dan menceritakan pekerjaan sebenar, hukuman keras menanti.

“Ada rakan yang dipukul tanpa belas kasihan,” katanya.

Cuba lari, jari dipotong

Simon berkata, rancangan untuk melarikan diri sering diatur sesama mereka namun tiada keberanian untuk melakukannya.

Ini kerana katanya mereka sedar akibat yang menanti jika misi itu gagal.

“Saya pernah lihat ada yang dipotong jari selepas ditangkap ketika cuba melarikan diri,” katanya.

Menurutnya, ‘kawalan keselamatan’ tempat itu sangat ketat kerana ramai pengawal ditempatkan di situ untuk mengawasi gerak geri mereka.

“Keadaan kami tidak ubah seperti duduk di penjara, dikurung dan langsung tidak dibenarkan keluar selain dipaksa untuk menipu orang luar,” katanya.

Dipindahkan akibat gagal capai ‘target’ 

Selepas beberapa bulan bekerja, Simon dan rakan – rakan tidak mencapai ‘sasaran jualan’.

Akibatnya, mereka telah dipindahkan ke syarikat lain yang agak jauh dari tempat kerja terdahulu.

“Perkara yang menyukarkan kami untuk melarikan diri ialah kerana operasi syarikat ini yang sering berpindah dari satu pulau ke pulau yang lain,” katanya.

Pada September lalu, rancangan melarikan diri akhirnya berhasil.

“Kami berjaya sampai di Kedutaan Malaysia di Kemboja dan seterusnya pihak kedutaan membantu menghubungkan kami dengan Kementerian Luar,” katanya.

Namun demikian, kata Simon biarpun sudah terlepas daripada cengkaman sindiket itu, mereka masih trauma.

“Kami takut kerana merasakan sindiket itu sedang mencari kami malah passport turut disimpan oleh mereka,” katanya.

Bagaimana terlibat?

Ditanya bagaimana boleh ‘terjebak’, Simon mengakui tertarik dengan tawaran gaji lumayan.

“Saya mendapat tahu menerusi seorang kawan yang di sini terdapat peluang pekerjaan yang menawarkan gaji lumayan,” katanya.

“Kami seramai empat orang yang kesemuanya berasal dari Sabah kemudian berjumpa dengan salah seorang agen.

“Dia memberitahu gaji yang ditawarkan sebanyak 1500 dolar,” katanya kepada TVS.

Menanti jalan pulang

Walaupun sudah selamat namun kumpulan berkenaan masih berada di Kemboja ketika ini.

Maklumat tentang tarikh kepulangan dan lokasi sebenar mereka berada ketika ini juga tidak didedahkan atas faktor keselamatan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan